rose roses

Jumaat, 16 Disember 2011

KELEMBUTAN MENAKLUK HATI

     Kelembutan air mampu menghakis tebing yang kukuh dan juga melekukkan batu yang pejal. Tenaga padu yang dihasilkan oleh air itu mampu memecahkan empangan yang kebal. Begitu juga hati manusia yang keras mampu dilenturkan dengan kelembutan budi pekerti. Api yang membara mampu dipadamkan oleh air yang sejuk.  Dinginnya air itu dapat menyirami badan yang panas dan gersang. Hati yang marah juga dapat disejukkan dengan kelembutan tingkah laku dan budi pekerti yang mulia.
     Firman Allah yang bermaksud :"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia sudah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat dan takut." (Surah Taha 20: 43-44).
     Kelembutan kata-kata dapat memberi peringatan dengan lebih berkesan, malah dapat  menyentuh emosi seseorang. Orang yang berbicara dengan kata-kata yang lembut dan penuh kesopanan akan mudah diterima, dan kata-katanya boleh memikat hati orang yang mendengar.
Rasulullah bersabda, maksudnya "Allah itu bersifat lemah lembut dan amat menyukai sifat lemah lembut dalam setiap urusan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hati dan Batu

     Perlakuan melekukkan batu dengan pukulan yang keras akan memecahkan batu itu.  Tetapi dengan titisan air yang terus menerus, lama-kelamaan bentuk batu itu akan berubah.  Begitulah prinsipnya untuk mengajar mereka yang bertuhankan nafsu untuk hatinya tunduk dan menjadi lembut.
     Firman Allah yang bermaksud : "Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya, dan ada pula diantaranya yang pecah terbelah, lalu keluar mata air daripadanya, dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah, sedangkan Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah 2:74)
     Amat menyedihkan jika dilihat orang berilmu dan berpendidikan tinggi  bersikap terlalu emosional, tidak bersifat lemah lembut dan tidak berhikmah dalam menangani sesuatu isu.  Lebih teruk lagi, merasakan dirinya sahaja yang betul dan lebih baik berbanding orang lain.
     Kehidupan manusia harus di urus dengan akhlak terpuji supaya umatnya berperilaku lemah lembut dalam segala urusan kehidupan serta dapat mengawal segala kehendak hawa nafsu, perasaan dan emosi.
     Kekerasan akan melonjakkan hawa nafsu dan mengakibatkan emosi yang tidak terkawal sehingga umat manusia menjurus ke arah suasana hidup yang tidak tenteram, institusi keluarga yang porak peranda, masyarakat yang tidak harmoni, umat manusia pula saling mengeji , pemimpin dan rakyatnya pula saling menjatuhkan antara satu sama lain sehingga akhirnya memecah belahkan kesatuan ukhuwah islamiah. Sifat lemah lembut dapat menguatkan perjuangan Islam dan persaudaraan Islam.

Memimpin Dengan Kelembutan

     Seorang pemimpin dituntut agar bersikap lemah lembut terhadap orang bawahannya tanpa memilih bulu. Pemimpin juga tidak boleh bersikap kasar dan berhati keras ketika menghadapi kerenah orang bawahan  mereka. Perbezaan pendapat dan pandangan tidak seharusnya menjadi penghalang ke arah mewujudkan kesatuan dan perpaduan umat untuk sama-sama membina peradaban Islam yang mendapat keredaan Ilahi.
     Kepimpinan ibu dan ayah dalam mengharungi bahtera rumah tangga pula seharusnya dipenuhi dengan sikap bertanggungjawab yang diwarnai dengan sifat lemah lembut, supaya semua anak membesar dengan ketenangan dan kenikmatan syurga dalam rumah mereka.  Dengan ini, anak-anak pasti terhindar dari gejala tidak sihat yang melanda masyarakat dewasa ini. Begitu juga sikap seorang suami yang bersifat lemah lembut terhadap isterinya ketika melayari bahtera kehidupan demi mencipta sebuah keluarga bahagia.
     Perlu diinsafi , skop sifat lemah lembut ini amat luas.  Ia bukan sahaja terhad dalam konteks hubungan sesama manusia, malah ia turut membabitkan hubungan sesama makhluk lain yang menghuni alam maya ini. Justeru , Rasulullah s.a.w. memerintahkan setiap Muslim supaya bersikap lemah lembut terhadap semua makhluk.

(Majalah Solusi Isu No. 38)