rose roses

Khamis, 1 Disember 2011

PERANAN ISTERI DI DALAM KEBAHAGIAAN SUAMI

Assalamuaalaikumwarahmatullahiwabarakatuh, rakan-rakan blogku sekalian.
         Minggu ini ingin Ros kongsikan sedikit hasil dari pembacaan bagi meningkatkan pengetahuan diri ini ke arah menjadi seorang isteri yang dapat memberi kebahagiaan suaminya. Hati ini terfikir walaupun sudah 17 tahun mendirikan rumahtangga namun masih banyak lagi perkara-perkara yang tidak pernah diambil kisah lantaran kesibukan masa dengan tugas di rumah dan juga di pejabat. Namun hati ini tekad untuk sekurangnya dapat menambahkan pengetahuan untuk tujuan akhirat walaupun hanyasatu tajuk satu hari.
         Hasil dari pembacaan melalui buku PELIHARALAH DIRIMU DUHAI WANITA, dapatlah kiranya Ros berkongsi bersama rakan-rakan sekalian apakah peranan isteri di dalam kebahagian suami.
         Isteri adalah pusat segala aktiviti di dalam rumah tangga . Melalui pengorbanan dan perhatiannya terhadap semua orang beliau mewujudkan suasana damai dan menggembirakan.  Disini keupayaannya untuk mendengar dengan rasa kasih sayang dan penuh perhatian merapatkan hubungannya dengan anak-anak dan suami. Beliau adalah sumber kebahagiaan dan keselesaan untuk mereka.  Isteri tidaklah seharusnya berlaku kurang sopan kepada suaminya.

        Abu Bakar r.a telah memberitakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda ;"Wanita yang mengganggu suaminya dengan lidah, beliau menarik kemurkaan Allah dan semua malaikat dan manusia.".   Begitu juga Usman r.a telah berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda ; " Wanita yang berkata kepada suaminya bahawa beliau tidak melihat kebaikan ada padanya, Allah menggantungkan amalan baiknya selama tujuh puluh tahun walaupun dia berpuasa sepanjang hari dan beribadat di waktu malam."
                                                                                                             (H.R. Ibnu Majah dan An-Nasaaei)

       Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda ; " Jika bumi ditukar kepada emas dan beberapa wanita mengambil emas itu ke rumahnya dan berkata dengan bongkaknya bahawa semua kekayaan itu adalah miliknya dan suaminya tidak mempunyai bahagian di dalamnya Allah akan mempersia-siakan segala amalan kebaikannya walaupun ia banyak."
                                                                                                           (H.R. Ahmad)

       Amnya wanita yang kaya yang berkahwin dengan lelaki dari golongan miskin akan menunjuk-nunjukkan kemegahan dan kebongkakannya yang amat dikutuk oleh Islam di mana ia akan menghapuskan segala amalan kebaikan tanpa sebarang ganjaran.  Ia adalah dosa tanpa sebarang keseronokan.  Oleh itu kaum wanita kita hendaklah menjauhkan diri dari penyalahgunaan lidah dan cercaan yang merupakan ciri-ciri keiblisan yang paling teruk dan buruk sekali.

       Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda ; " Adakah kamu tahu perkara yang membawa manusia memasuki syurga ?  Ia adalah takutkan Allah dan akhlak yang baik.  Adakah engkau mengetahui suatu benda yang lompong iaitu mulut dan kemaluan (wanita)."
                                                                                                             (H.R Tirmidzi dan Ibnu Majah)

       Ubaba bin Somit meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda ; "Jika kamu memberi jaminan enam perkara dipihak kamu aku akan memberi jaminan untuk dia memasuki syurga.  Bercakap benarlah apabila kamu berkata-kata, tunaikanlah janji apabila kamu berjanji, apabila engkau diamanahkan oleh seseorang maka engkau menjagainya, hindarilah seks yang tidak bermoral, tundukkanlah pandanganmu dan jauhilah tanganmu dari ketidakadilan. "
                                                                                                              (H.R Baihaqi)

       Di dalam hadis terdapat pengajaran yang besar dan janganlah tidak mengendahkannya.  Ini kerana ketidak prihatinanmu mengenainya menyebabkan mala petaka.  Satu-satunya jalan penyelesaian dan cara terbaik untuk memastikan perhubungan suami isteri yang baik dan hubungan anak-anak dan ibu bapa yang menggembirakan adalah dengan mengamalkan cara kehidupan Islam yang sejati.  Untuk kejayaan keluarga dan kebahagiaannya adalah perlu kehidupan dibatasi oleh sunnah Rasulullah SAW. Allah telah berfirman dalam Surah Al-Ahzab :33 yang bermaksud ;

     "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh dan teladan yang baik bagi mereka yang mengharapkan pertemuan dengan Allah dan hari kiamat dan ingatilah Allah dengan sebanyak-banyaknya."


       Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda ; " Islam adalah penyembahan Allah sahaja dan tidak mempersekutukan di dalam penyembahannya menunaikan solat dengan sempurna        ( iaitu dengan khusyuk dan menjaga waktu bersama jemaah), membayar zakat dan berpuasa di bulan Ramadhan , mengerjakan haji di baitullah, mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran dan mengucapkan salam (Assalamualaikum) kepada ahli rumah.  Barang siapa meninggalkan salah satu dari perkara ini, dia menyakiti salah seorang dari kalangan umat islam dan jika seseorang meninggalkan salah satu ciri (keimanan) ini maka dia berpaling dari islam."

       Al-Quran juga telah menjelaskan perkara yang sama di dalam satu bahasa yang tidak mampu ditiru oleh sesiapa pun sebagaimana firma Allah SWT, yang bermaksud ;

       " Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan.  Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.  Tetapi jika kamu tergelincir (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah , bahawasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
                                                                                                       (Surah Al-Baqarah : 208-209)

Ya Allah, kau jadikanlah aku seorang  yang sentiasa mejalankan tanggungjawabku sebagai seorang isteri dan ibu dengan ikhlas hanya kerana Mu dan sentiasa taat akan perintahmu , Amin....

Semoga ilmu ini dapat kita kongsikan bersama dan saling ingat mengingati. Kepada suamiku tegurlah isterimu ini sekiranya tingkah laku isterimu ini melampaui batas dan terpesong dari perkara yang sepatutnya dan jika ianya melukakan hatimu.