rose roses

Jumaat, 23 Disember 2011

Renung-renungkanlah terjemahan al-Quran Surah Al-Qiamah....Ingatlah bekalan untuk Akhirat....

 Dengan Nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1. Aku bersumpah dengan Hari Kiamat ; 2. Dan Aku bersumpah dengan "An-Nafsul-Lawwaamah" (Bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)! 3.  Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula) ? 4.  Bukan sebagaimana yang disangkakan itu, bahkan kami  berkuasa menyusun  (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain). 5.  ( Kebenaran itu bukan tidak ada buktinya), bahkan manusia (yang ingkar) sentiasa suka hendak meneruskan perbuatan kufur dan maksiat (di sepanjang hayatnya, sehingga ia tidak mengakui adanya hari Kiamat). 6.  Ia bertanya (secara mengejek) "Bilakah datangnya hari kiamat itu ?"
 7.  Maka (jawabnya : hari kiamat akan datang) apabila pemandangan menjadi berpendar-pendar (kerana gerun takut ). 8. Dan bulan hilang cahayanya 9.  Dan matahari dan bulan dihimpunkan bersama. 10.  (Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat) : " Ke manakah hendak melarikan diri ? 
 11.  Tak usahlah bertanyakan demikian ! Tidak ada lagi tempat perlindungan ! 12.  Pada hari itu, kepada Tuhanmulah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara.  13.  Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang ia telah lakukan, dan apa yang ia telah tinggalkan. 14.  Bahkan manusia itu, (anggotanya ) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri,- 15.  Walaupun ia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri).  
16.  Janganlah engkau (Wahai Muhammad) - kerana hendakkan cepat menghafal Quran yang diturunkan kepadamu - menggerakkan lidahmu membacanya (sebelum selesai dibacakan kepadamu). 17.  Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu), dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu) ; 18.  Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu , dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu ; 19.Kemudian, sesungguhnya kepada Kami-lah terserah urusan menjelaskan kandungannya (yang memerlukan penjelasan). 20.  Sedarlah wahai orang-orang yang lalai . (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. 21. Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya). 22.  Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri - 23.  Melihat kepada Tuhannya, 24.  Dan pada hari itu, muka (orang-orang kafir) muram hodoh,- 25.  Sambil percaya dengan yakin bahawa mereka akan ditimpa malapetaka (azab seksa) yang membinasakan. 
26.  Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkongan.  27. Dan (orang-orang yang hadir disisinya heboh) berkata; "Siapakah yang dapat menawar jampi (dan mengubatinya) ?" 28.  Dan ia Tuhan-mulah pada waktu itu- engkau dibawa (untuk menerima balasan). 31.  (Oleh sebab orang yang kufur ingkar tidak percayakan hari akhirat) maka ia tidak mengakui kebenaran (yang diwajibkan meyakininya) ; dan ia tidak mengerjakan sembahyang (yang difardhukan mengerjakannya ) !- 32.  Akan tetapi ia mendustakan, dan berpaling ingkar ! 33.  Kemudian ia pergi kepada keluarganya dengan berlagak sombong megah. 34.  (Wahai orang yang kufur ingkar !)sudahlah dekat kepadamu kebinasaanmu, sudahlah dekat ! 35.  Kemudian api nerakalah lebih layak bagimu, lebih layak. 36.  Patutkah manusia menyangka, bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan) ? 37.  Bukankah ia berasal dari air mani yang dipancarkan ( ke dalam rahim). 38.  Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia) ? 39.  Lalu tuhan menjadikan daripadanya dua jenis - lelaki dan perempuan. 40.  Adakah (Tuhan yang menjadikan semuanya) itu tidak berkuasa menghidupkan orang-orang yang mati ? (Tentulah berkuasa)

Jumaat, 16 Disember 2011

KELEMBUTAN MENAKLUK HATI

     Kelembutan air mampu menghakis tebing yang kukuh dan juga melekukkan batu yang pejal. Tenaga padu yang dihasilkan oleh air itu mampu memecahkan empangan yang kebal. Begitu juga hati manusia yang keras mampu dilenturkan dengan kelembutan budi pekerti. Api yang membara mampu dipadamkan oleh air yang sejuk.  Dinginnya air itu dapat menyirami badan yang panas dan gersang. Hati yang marah juga dapat disejukkan dengan kelembutan tingkah laku dan budi pekerti yang mulia.
     Firman Allah yang bermaksud :"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia sudah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat dan takut." (Surah Taha 20: 43-44).
     Kelembutan kata-kata dapat memberi peringatan dengan lebih berkesan, malah dapat  menyentuh emosi seseorang. Orang yang berbicara dengan kata-kata yang lembut dan penuh kesopanan akan mudah diterima, dan kata-katanya boleh memikat hati orang yang mendengar.
Rasulullah bersabda, maksudnya "Allah itu bersifat lemah lembut dan amat menyukai sifat lemah lembut dalam setiap urusan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hati dan Batu

     Perlakuan melekukkan batu dengan pukulan yang keras akan memecahkan batu itu.  Tetapi dengan titisan air yang terus menerus, lama-kelamaan bentuk batu itu akan berubah.  Begitulah prinsipnya untuk mengajar mereka yang bertuhankan nafsu untuk hatinya tunduk dan menjadi lembut.
     Firman Allah yang bermaksud : "Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya, dan ada pula diantaranya yang pecah terbelah, lalu keluar mata air daripadanya, dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah, sedangkan Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah 2:74)
     Amat menyedihkan jika dilihat orang berilmu dan berpendidikan tinggi  bersikap terlalu emosional, tidak bersifat lemah lembut dan tidak berhikmah dalam menangani sesuatu isu.  Lebih teruk lagi, merasakan dirinya sahaja yang betul dan lebih baik berbanding orang lain.
     Kehidupan manusia harus di urus dengan akhlak terpuji supaya umatnya berperilaku lemah lembut dalam segala urusan kehidupan serta dapat mengawal segala kehendak hawa nafsu, perasaan dan emosi.
     Kekerasan akan melonjakkan hawa nafsu dan mengakibatkan emosi yang tidak terkawal sehingga umat manusia menjurus ke arah suasana hidup yang tidak tenteram, institusi keluarga yang porak peranda, masyarakat yang tidak harmoni, umat manusia pula saling mengeji , pemimpin dan rakyatnya pula saling menjatuhkan antara satu sama lain sehingga akhirnya memecah belahkan kesatuan ukhuwah islamiah. Sifat lemah lembut dapat menguatkan perjuangan Islam dan persaudaraan Islam.

Memimpin Dengan Kelembutan

     Seorang pemimpin dituntut agar bersikap lemah lembut terhadap orang bawahannya tanpa memilih bulu. Pemimpin juga tidak boleh bersikap kasar dan berhati keras ketika menghadapi kerenah orang bawahan  mereka. Perbezaan pendapat dan pandangan tidak seharusnya menjadi penghalang ke arah mewujudkan kesatuan dan perpaduan umat untuk sama-sama membina peradaban Islam yang mendapat keredaan Ilahi.
     Kepimpinan ibu dan ayah dalam mengharungi bahtera rumah tangga pula seharusnya dipenuhi dengan sikap bertanggungjawab yang diwarnai dengan sifat lemah lembut, supaya semua anak membesar dengan ketenangan dan kenikmatan syurga dalam rumah mereka.  Dengan ini, anak-anak pasti terhindar dari gejala tidak sihat yang melanda masyarakat dewasa ini. Begitu juga sikap seorang suami yang bersifat lemah lembut terhadap isterinya ketika melayari bahtera kehidupan demi mencipta sebuah keluarga bahagia.
     Perlu diinsafi , skop sifat lemah lembut ini amat luas.  Ia bukan sahaja terhad dalam konteks hubungan sesama manusia, malah ia turut membabitkan hubungan sesama makhluk lain yang menghuni alam maya ini. Justeru , Rasulullah s.a.w. memerintahkan setiap Muslim supaya bersikap lemah lembut terhadap semua makhluk.

(Majalah Solusi Isu No. 38)

Khamis, 1 Disember 2011

PERANAN ISTERI DI DALAM KEBAHAGIAAN SUAMI

Assalamuaalaikumwarahmatullahiwabarakatuh, rakan-rakan blogku sekalian.
         Minggu ini ingin Ros kongsikan sedikit hasil dari pembacaan bagi meningkatkan pengetahuan diri ini ke arah menjadi seorang isteri yang dapat memberi kebahagiaan suaminya. Hati ini terfikir walaupun sudah 17 tahun mendirikan rumahtangga namun masih banyak lagi perkara-perkara yang tidak pernah diambil kisah lantaran kesibukan masa dengan tugas di rumah dan juga di pejabat. Namun hati ini tekad untuk sekurangnya dapat menambahkan pengetahuan untuk tujuan akhirat walaupun hanyasatu tajuk satu hari.
         Hasil dari pembacaan melalui buku PELIHARALAH DIRIMU DUHAI WANITA, dapatlah kiranya Ros berkongsi bersama rakan-rakan sekalian apakah peranan isteri di dalam kebahagian suami.
         Isteri adalah pusat segala aktiviti di dalam rumah tangga . Melalui pengorbanan dan perhatiannya terhadap semua orang beliau mewujudkan suasana damai dan menggembirakan.  Disini keupayaannya untuk mendengar dengan rasa kasih sayang dan penuh perhatian merapatkan hubungannya dengan anak-anak dan suami. Beliau adalah sumber kebahagiaan dan keselesaan untuk mereka.  Isteri tidaklah seharusnya berlaku kurang sopan kepada suaminya.

        Abu Bakar r.a telah memberitakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda ;"Wanita yang mengganggu suaminya dengan lidah, beliau menarik kemurkaan Allah dan semua malaikat dan manusia.".   Begitu juga Usman r.a telah berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda ; " Wanita yang berkata kepada suaminya bahawa beliau tidak melihat kebaikan ada padanya, Allah menggantungkan amalan baiknya selama tujuh puluh tahun walaupun dia berpuasa sepanjang hari dan beribadat di waktu malam."
                                                                                                             (H.R. Ibnu Majah dan An-Nasaaei)

       Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda ; " Jika bumi ditukar kepada emas dan beberapa wanita mengambil emas itu ke rumahnya dan berkata dengan bongkaknya bahawa semua kekayaan itu adalah miliknya dan suaminya tidak mempunyai bahagian di dalamnya Allah akan mempersia-siakan segala amalan kebaikannya walaupun ia banyak."
                                                                                                           (H.R. Ahmad)

       Amnya wanita yang kaya yang berkahwin dengan lelaki dari golongan miskin akan menunjuk-nunjukkan kemegahan dan kebongkakannya yang amat dikutuk oleh Islam di mana ia akan menghapuskan segala amalan kebaikan tanpa sebarang ganjaran.  Ia adalah dosa tanpa sebarang keseronokan.  Oleh itu kaum wanita kita hendaklah menjauhkan diri dari penyalahgunaan lidah dan cercaan yang merupakan ciri-ciri keiblisan yang paling teruk dan buruk sekali.

       Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda ; " Adakah kamu tahu perkara yang membawa manusia memasuki syurga ?  Ia adalah takutkan Allah dan akhlak yang baik.  Adakah engkau mengetahui suatu benda yang lompong iaitu mulut dan kemaluan (wanita)."
                                                                                                             (H.R Tirmidzi dan Ibnu Majah)

       Ubaba bin Somit meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda ; "Jika kamu memberi jaminan enam perkara dipihak kamu aku akan memberi jaminan untuk dia memasuki syurga.  Bercakap benarlah apabila kamu berkata-kata, tunaikanlah janji apabila kamu berjanji, apabila engkau diamanahkan oleh seseorang maka engkau menjagainya, hindarilah seks yang tidak bermoral, tundukkanlah pandanganmu dan jauhilah tanganmu dari ketidakadilan. "
                                                                                                              (H.R Baihaqi)

       Di dalam hadis terdapat pengajaran yang besar dan janganlah tidak mengendahkannya.  Ini kerana ketidak prihatinanmu mengenainya menyebabkan mala petaka.  Satu-satunya jalan penyelesaian dan cara terbaik untuk memastikan perhubungan suami isteri yang baik dan hubungan anak-anak dan ibu bapa yang menggembirakan adalah dengan mengamalkan cara kehidupan Islam yang sejati.  Untuk kejayaan keluarga dan kebahagiaannya adalah perlu kehidupan dibatasi oleh sunnah Rasulullah SAW. Allah telah berfirman dalam Surah Al-Ahzab :33 yang bermaksud ;

     "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu contoh dan teladan yang baik bagi mereka yang mengharapkan pertemuan dengan Allah dan hari kiamat dan ingatilah Allah dengan sebanyak-banyaknya."


       Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda ; " Islam adalah penyembahan Allah sahaja dan tidak mempersekutukan di dalam penyembahannya menunaikan solat dengan sempurna        ( iaitu dengan khusyuk dan menjaga waktu bersama jemaah), membayar zakat dan berpuasa di bulan Ramadhan , mengerjakan haji di baitullah, mengajak kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran dan mengucapkan salam (Assalamualaikum) kepada ahli rumah.  Barang siapa meninggalkan salah satu dari perkara ini, dia menyakiti salah seorang dari kalangan umat islam dan jika seseorang meninggalkan salah satu ciri (keimanan) ini maka dia berpaling dari islam."

       Al-Quran juga telah menjelaskan perkara yang sama di dalam satu bahasa yang tidak mampu ditiru oleh sesiapa pun sebagaimana firma Allah SWT, yang bermaksud ;

       " Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan.  Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.  Tetapi jika kamu tergelincir (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah , bahawasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
                                                                                                       (Surah Al-Baqarah : 208-209)

Ya Allah, kau jadikanlah aku seorang  yang sentiasa mejalankan tanggungjawabku sebagai seorang isteri dan ibu dengan ikhlas hanya kerana Mu dan sentiasa taat akan perintahmu , Amin....

Semoga ilmu ini dapat kita kongsikan bersama dan saling ingat mengingati. Kepada suamiku tegurlah isterimu ini sekiranya tingkah laku isterimu ini melampaui batas dan terpesong dari perkara yang sepatutnya dan jika ianya melukakan hatimu.